Surau ini telah mula beroperasi pada tanggal 1 Ramadhan 1425H bersamaan 15 Oktober, 2004M. Nama surau dan barisan jawatankuasa pentadbir yang pertama telah didaftarkan secara resmi dan telah pun diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Nama resmi surau ini adalah Surau Al-Ulum, KD9 di alamat Jalan Rimba Riang 9/1, Seksyen 9 Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor.
Surau Al-Ulum KD9 disediakan sepenuhnya oleh pemaju projek perumahan kawasan ini iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. Rekabentuk surau ini telah disediakan olek Arasreka Arkitek yang merupakan reka bentuk ’standard’ bagi semua surau-surau disekitar Kota Damansara ini.
Apa yang amat mengkagumkan di peringkat awal surau ini adalah respon yang telah diberikan oleh ahli kariah terhadap usaha mengadakan segala kemudahan fizikal bagi tujuan pengimarahan surau. Dalam masa kurang dari dua minggu, segala keperluan asas seperti PA System, Carpet, Sejadah, Langsir, Kipas, Pinggan, Kitab Al-Quran/Yaasin dan sebagainya telah pun tersedia hasil sumbangan ahli-ahli kariah Surau Al-Ulum sendiri.
Sejak mula beroperasi, program pengimarahan seperti Solat Fardu, Kuliah Fardu ’Ain, Ceramah Agama Solat Terawih, Qiamullail dan sebagainya telah dijalankan dengan lancar hasil usaha dan sokongan semua pihak. Antara tokoh agama yang pernah dijemput ke surau ini adalah Tuan Guru Nik Radzi Nik Mat, Tuan Guru Fuad Kamaludin, Dato Dr. Hasan Ali, Ustazah Siti Noorbaayah Mahmod, Dr. Sharifah Hayati Syed Mohamad, Peguam Zulkifli Nordin dan lain-lain lagi termasuk dari Indonesia dan Australia.
Program riadah dan kemasyarakatan turut tidak dilupakan antaranya Majlis Korban, Jamuan Hari Raya, program ziarah rumah ke rumah, pertandingan melukis, perlawanan sukan persahabatan (bola tampar, futsal) dan sebagainya. Beberapa program yang dianjurkan secara bersama dengan Persatuan Penduduk KD9 juga turut diadakan seperti Perlawanan Bowling Tahunan, Program Homestay – pelajar Jepun, Hari Keluarga, Fund Raising – cuci kereta, Perkemahan remaja dan sebaginya.
Surau ini juga mempunyai saluran komunikasi yang khusus untuk menyampaikan maklumat khususnya kepada ahli-ahli kariah. Buletin Sinar Al-Ulum dikeluarkan setiap bulan disamping flyers yang dikeluarkan dari masa ke semasa. Sesuai dengan perkembangan semasa, laman web surau turut disediakan dialamat http://www.al-ulum.com.
Mulai 15 Disember, 2006M Pentadbiran Surau Al Ulum KD9 telah melantik Ust Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi sebagai Pegawai Agama Surau Al Ulum KD9. Beliau berperanan menggerak dan menghidupkan aktiviti pengimarahan Surau disamping menjadi pakar rujuk agama Islam bagi Perjiranan Rimba Riang dan sekitarnya. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Kepujian, Universiti Sultan Toha Saifuddin, Sumatera Indonesia. Beliau pernah belajar di Madrasah al Taufiqiah al Husainiah Negeri Sembilan, Jami’al Azhar Kaherah Mesir, Institut Pusat Pengajian Bahasa Arab Kedah, Persantren Baqiat al Solehah Kuala Tungkal Jabi dan sekarang sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana (Master) di Universiti Malaya.
Visi surau Al-Ulum adalah untuk menjadi ‘Surau Terbaik’ yang mesra kepada semua golongan: dewasa, remaja dan kanak-kanak tanpa adanya sebarang garis pemisah. Beberapa program jangka pendek dan jangka panjang sedang diaturkan demi mencapai maksud tersebut. Sokongan yang ‘istiqamah’ dari semua amat diharapkan. Maksud firman Allah SWT dalam Al-Quran, “Hanyalah yang memakmurkan rumah-rumah Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain daripada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surah At- Taubah ayat 18.
Hj Mohd Ali Mungai
|