Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh kepada semua
pengujung laman web ini khususnya seluruh
penduduk-penduduk Islam di Seksyen 9, Kota
Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Selawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad
s.a.w. berserta ahli keluarga dan para sahabat
sekalian.
Terlebih dahulu saya
bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah
dan kurniaNya Surau Al-Ulum KD9, telah mempunyai
laman web untuk dilawati oleh ahli-ahli kariah
bagi mengetahui aktiviti surau, maklumat barisan
AJK, program bulanan, gambar-gambar aktiviti
yang telah dijalankan dan juga beberapa maklumat
yang boleh dimanafaatkan melalui ‘link’ ke laman
web yang berkenaan. Saya mengucapkan ribuan
terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang
sudi melawat laman web surau ini.
Dengan adanya laman web ini,
Surau Al-Ulum telah mengorak langkah setapak
lagi di dalam menyebarkan maklumat dan berita
berkenaan segala aktiviti surau yang telah dan
akan dijalankan, di samping pengedaran buletin
bulanan kepada ahli kariah. Segala cadangan yang
baik berkenaan aktiviti surau bolehlah
dikirimkan melalui e-mail di laman web ini
supaya ianya dapat dikaji oleh AJK. Pandangan dan sumbangan
tuan/puan amat kami hargai demi kebaikan surau
kita bersama. Segala kekurangan di dalam
laman web ini saya ingin memohon ampun dan maaf
dan Insya’ Allah akan perbaiki kandungannya dari
masa kesemasa. Ucapan terima kasih saya kepada
sukarelawan dan AJK yang terlibat di dalam
menjayakan laman web ini.
Bagi pihak semua ahli
Jawatankuasa Surau Al-Ulum KD9 ini, kami
menyedari bahawa kami bukanlah barisan yang
terbaik untuk menjadi pentadbir yang sempurna.
Justeru dengan rendah hati di kesempatan ini,
kami memohon kerjasama semua pihak agar terus
membantu kami dalam semua aspek ke arah
merealisasikan visi ‘Surau Terbaik’ yang mesra
kepada semua golongan: dewasa, remaja dan
kanak-kanak tanpa adanya sebarang garis
pemisah. Beberapa program jangka pendek dan
jangka panjang sedang diaturkan demi mencapai
maksud tersebut. Sokongan yang ‘istiqamah’ dari
semua amat diharapkan dalam memakmurkan surau
kita. Maksud firman Allah SWT dalam Al-Quran, “Hanyalah yang
memakmurkan rumah-rumah Allah ialah orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,
serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat
dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain
daripada Allah, maka merekalah orang-orang yang
diharapkan termasuk golongan orang-orang yang
mendapat petunjuk.” Surah
At- Taubah ayat 18.
Sekian, terima kasih dan
wassalam.
Hj. Mohd. Ali Bin Mungai.
Pengerusi
|