|

Assalamualaikum w.b.r.t.h. kepada tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Alhamdullilah , dengan izin Allah, pihak Jawatan Kuasa surau di bawah Biro Pembangunan telah dapat menyiapkan beberapa kerja tambahan demi untuk keselesaan para jemaah seperti berikut :
-
Mengadakan penutup longkang besi di hadapan surau untuk keselamatan terutamanya kepada kanak-kanak. Longkang berdekatan dengan gelanggang bola tampar juga telah ditutup demi keselamatan , terutamanya jika gelanggang tersebut digunakan untuk permainan bola tampar.
-
Mengadakan atap ( awning ) dan sinki berdekatan tempat wuduk lelaki bagi kemudahan memasak dan penyediaan makanan pada sambutan perayaan utama dan majlis cermah-ceramah perdana.
-
Mengadakan pagar dan laluan ke Taman Kejiranan bagi memudahkan pengunjung meletak kereta di Taman Kejiranan dan masuk ke kawasan surau melalui pagar tambahan ini. Laluan pejalan kaki ini juga telah dikemaskan dengan ‘paving blok’ dan juga simen konkrit. Pagar tambahan juga telah diadakan bagi kanak-kanak untuk bermain di taman permainan.
-
Memasang alat penghawa dingin dan penambahan pendawaian di bilik pegawai agama bagi keselesaan dan memasang ‘grill’ besi untuk keselamatan tambahan.
-
Mengadakan pengindahan di kawasan luar surau dengan menanam pokok-pokok bunga melalui gotong royong dan juga sumbangan dari ahli-ahli kariah dan para dermawan. Menambah kelengkapan dan peralatan dalaman surau seperti kipas angin di kawasan anjung, speaker, kerusi, meja , sinki basuh tangan, hiasan dan papan tanda ( signage ). Jutaan terima kasih diucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah banyak memberi sumbangan kepada surau.

AJK surau juga sedang berusaha untuk mengadakan unit-unit penghawa dingin untuk keselesaan para jemaah terutamanya apabila surau diisi penuh ketika setiap kali di bulan Ramadan dan juga pada majlis-majlis ceramah perdana yang diadakan. Surat telah diedarkan kepada penduduk Islam bagi sesiapa yang berminat menyumbang bagi dana penghawa dingin ini.
Kerja-kerja pemasangan pendawaian dalaman untuk bekalan elektrik 3 fasa telah dimulakan di Surau Al- Ulum pada 13/8/ 2007 bagi pemasangan lapan (8) unit-unit penghawa dingin 2.5HP setiap satu. Permohonan ke Tenaga Nasional Berhad akan dimasukkan pada minggu ini. Pemasangan panel-panel gelas bagi menggantikan 'fixed lourves' yang sedia ada akan bermula pada hari Rabu 15/8/2007 dan keseluruhan kerja-kerja di dalam surau akan dijangka siap dalam masa tiga minggu. Pihak Jawatan Kuasa ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang di dalam projek ini. Walaubagaimana pun, sumbangan yang diterima sehingga ini hanya cukup untuk menampung kos pemasangan pendawaian tiga fasa dan kerja-kerja yang berkenaan termasuk menutup 'fixed lourves' dan penambahan 4 nos. 'power point 13Amp yang mana keseluruhan kerja-kerja tersebut berjumlah sebanyak RM 8,560.00. Kos ini tidak termasuk unit-unit penghawa dingin.
Alhamdulillah, walaupun begitu, pihak surau telah menerima 'pledges' dari beberapa individu yang bersetuju menaja unit-unit penghawa dingin ini. Sehingga 13/8/2007, kita telah menerima 'confirmed pledges' untuk lima ( 5 ) unit 2.5 HP dan masih kurang lagi tiga ( 3 ) unit sahaja. Kos sebuah unit 2.5 HP termasuk kos piping dan membaikpulih jubin lantai yang terpaksa dipecah dianggarkan RM2,600 sebuah.
Tuan-tuan dan puan-puan boleh membantu Jawatan Kuasa dengan memberikan sumbangan ataupun membantu mencari penaja-penaja supaya matlamat untuk mengadakan 8 unit penghawa dingin dapat dicapai sebelum bulan Ramadan tahun ini.
Pembangunan Jangka Panjang.
Dengan kepakaran juruperunding di kalangan ahli-ahli kariah, pihak surau sedang mengkaji beberapa cadangan pembesaran surau bagi menampung keperluan surau dan pertambahan penduduk di masa hadapan. Ini termasuk pembesaran ruang solat, penambahan kuarter kediaman , penambahan bilik mesyuarat dan dewan kuliah, bilik jenazah , ruang penyimpanan (store) dan tempat letak kereta tambahan.
Konsep tersebut masih lagi diperingkat kajian . Insya Allah, setelah konsep tersebut di persetujui dan diluluskan, AJK akan menyediakan kertas kerja bagi mengujudkan dana khas untuk merelisasikan pembangunan ini.
Menara Telekomunikasi

Alhamdullillah, kita bertuah kerana tapak surau kita telah dipilih oleh syarikat telekomunikasi untuk disewa bagi mendirikan menara mereka. Sebuah menara telahpun siap dan beroperasi dan sebuah lagi sedang dalam pembinaan dan sebuah lagi akan dibina. Jumlah menara semuanya adalah tiga buah yang telah dipersetujui. Dengan adanya menara ini, tabung surau surau dapat diisi dengan pendapatan tetap dari sewaan yang diterima bagi menampung belanja operasi surau. |